Apakah itu topeng wajah (masker)?
Justeru, apa signifikannya pupur atau topeng wajah ini dalam rutin harian setiap wanita? Pupur muka jarang digunakan sebagai produk sendirian dalam rutin kecantikan wanita. Bagaimanapun, topeng muka boleh menjadi elemen penting dalam pembersihan menyeluruh kulit muka sebagai persediaan untuk rawatan kulit yang lain.
Sebagai contoh, pupur boleh digunakan untuk membersih dan menyegarkan kulit sebelum bersolek. Pupur juga boleh digunakan untuk tujuan kesihatan serta perubatan seperti menenangkan kulit yang kemerahan dek selaran matahari, kesan pencemaran serta terdedah kepada cuaca ekstrem.
Dengan mengetahui pelbagai jenis pupur muka serta cara penggunaannya, ia boleh memberi impak dan hasil lebih baik dalam proses penjagaan kulit harian.
Terdapat pelbagai jenis pupur muka/mask yang perlu anda pilih bagi kesesuaian pada kulit wajah anda yang dijual di pasaran seperti Collagen Mask, Whitening Mask, ClearPro Mask, Firming Mask,Wrinkle / Lifting Mask, Eye Mask, Hydrating Mask, Multivitamin Mask, Anti-Acne Mask dan sebagainya.
Justeru, anda perlulah memberikan lebih perhatian terhadap penjagaannya. Salah satunya ialah dengan memakai topeng muka atau pupur wajah yang disaran, diamalkan seminggu sekali bagi penjagaan kulit wajah lebih baik.
Dengan memakai pupur wajah, ia dapat mengurangkan dan merawat masalah kulit berminyak yang menjadi punca berlakunya jerawat dan pigmentasi. Malah, ia dapat mengecilkan liang pori-pori dan melembapkan kulit wajah.
Pakar kecantikan turut berpendapat, penggunaan pupur wajah secara konsisten dan teratur dapat membantu mendapatkan kulit wajah yang cantik dan halus. Ia bukan saja dapat menghaluskan kulit wajah tetapi dapat menyingkirkan lapisan kulit mati pada kulit wajah bagi mengelakkannya tersumbat.
JENIS PUPUR
a) Pupur Lumpur (Clay Mask)
- Penggunaan lumpur dalam produk rawatan kulit bermula sejak zaman Yunani dan Rom purba. Masyarakat zaman itu dikatakan mandi dalam lumpur dan menyapunya ke seluruh muka sebagai salah satu rawatan untuk kulit bermasalah.
- Topeng muka jenis lumpur ini kaya dengan mineral yang boleh bertindak sebagai antiradang, penentang bakteria dan membuang bahan berminyak serta menghalang jerawat.
- Ia juga boleh membuatkan liang pori mengecil, selain mineral membantu kulit mendapatkan nutrisi yang diperlukan.
b) Pupur Krim (Cream Mask)
- Sasarannya untuk melembapkan kulit. Kulit yang mengalami masalah kekeringan paling sesuai menggunakan pupur jenis ini kerana biasanya ia menggunakan minyak sebagai bahan asas.
- Pupur muka jenis krim ini bagaimanapun memerlukan bantuan daripada beberapa bahan lain agar dapat menyerap dan mengunci air dalam kulit.
- Komposisinya digabungkan dengan bahan berminyak untuk penyerapan lebih mudah. Prinsip penggunaan topeng muka jenis krim ini sama seperti menggunakan krim harian cuma ia mempunyai molekul lebih besar untuk kelembapan berpanjangan.
c) Pupur Jeli
- Jika dinilai pada penampilannya, pupur jenis jeli atau agar-agar ini sering jadi pilihan kerana warnanya yang jernih dan meninggalkan haruman buah-buahan.
- Pupur jenis ini sesuai untuk melegakan kulit selepas terdedah lama di bawah terik matahari. Ia memberikan rasa dingin dan selesa sejurus disapu pada kulit dan meninggalkan kesan segar selepas dicuci.
d) Pupur Topeng (kertas atau kerajang)
- Antara kelebihan pupur jenis ini ialah liputannya yang lebih besar. Esen pupur yang tersedia pada topengnya memudahkan penggunaan dan boleh digunakan di mana saja tanpa bimbang meninggalkan kesan kotoran pada pakaian atau tempat duduk.
APAKAH TUJUANNYA?
- Menyingkirkan kotoran, minyak dan sel-sel mati tanpa menghilangkan lembapan kulit, Membersihkan liang kulit secara dalaman, Mencegah jerawat dan mengurangkan parut kulit.
- Melindungi kulit daripada kemusnahan elastin, Mengurangkan kemunculan garis-garis halus, kedutan dan
mengekalkan kulit sentiasa terpelihara, mengeton dan menghidrat kulit.
- Mencegah kulit daripada menjadi gelap dan berjeragat, Memperlahankan kesan proses penuaan dan menentang masaalah pigmentasi, mengurangkan bintik-bintik hitam di permukaan muka.
Selain membeli topeng muka yang terdapat di pasaran, anda juga boleh membuatnya sendiri dan ia mungkin lebih menjimatkan. Bagi yang mempunyai kulit wajah berminyak, topeng wajah yang diperbuat daripada kebaikan timun dikatakan, dapat membantu masalah berkenaan. Selain memberikan kebaikan kepada kesihatan, termasuk menggalakkan pembentukan diet ringan dan sihat, timun juga memberikan beberapa manfaat dalam rawatan kecantikan.
Apa yang pasti, timun adalah bahan semula jadi dan bebas bahan kimia manakala untuk mendapatkannya tidaklah terlalu susah. Jadi, mengapa tidak mencuba membuat topeng wajah menggunakan timun, apatah lagi bukan sukar untuk menghasilkannya. Kesannya yang sejuk memberikan kesegaran pada kulit wajah. Kandungan air yang tinggi iaitu 95 peratus dan vitamin A, B & C serta mineral tertentu seperti magnesium, kalium, dan silika menjadikan penggunaan timun penting dalam penjagaan kulit.
Justeru, topeng muka yang mengandungi khasiat timun boleh digunakan untuk ketegangan kulit. Timun turut mencegah hidrasi dan meremajakan kulit, di samping menggalakkan pengelupasan dalam epidermis. Selain itu ia juga nutrien yang sangat baik untuk kulit dan membantu meninggalkan kesan lembut serta halus pada kulit. Bahkan, kulit timun juga boleh memberi kelegaan pada kulit yang disebabkan oleh selaran matahari.
No comments :
Post a Comment