Herba tradisional yang digunakan ibu selepas bersalin
Sepang Kederang
-Sepang Kederang atau Sepang (Caesalpinia Sappan L) adalah sejenis tumbuhan tempatan.
-Boleh diperolehi di kebanyakan negara Nusantara, tumbuhan liar ini adalah dari kategori pokok renek berduri dan pokoknya berwarna merah.
-Kandungan kimia yang terdapat dalam tumbuhan ini termasuk brasilin, tanin dan minyak terbang (volatile oil).
-Ia sering digunakan masyarakat Melayu khususnya dalam proses rawatan selepas bersalin.
-Kandungan kimianya menggalakkan proses penyembuhan luka dalaman lebih cepat selepas bersalin.
-Kayu sepang direbus bersama air hingga mendidih dan diminum setiap pagi ketika berpantang.
-Selain itu, ia juga berupaya melancarkan kitar haid selepas bersalin selain mengurangkan bengkak dan lebam.
Serapat
-Serapat (Parameria Polyneura) boleh ditemui di kawasan 1,500 meter dari aras laut di hutan Malaysia dan Indonesia.
-Ia digunakan secara tradisional oleh wanita selepas bersalin untuk memulihkan semula sistem peranakan. Semua bahagian tumbuhan ini mempunyai kegunaan.
Manjakani
-Manjakani (Quercus Infectoria Oliv) digunakan secara meluas dalam rawatan tradisional. Kandungan tanin yang tinggi membantu menegangkan bahagian intim selepas melahirkan anak. Sifat antiseptik semulajadinya berupaya mencegah jangkitan bakteria, kulat dan yis yang menjadi punca utama kegatalan dan bau kurang menyenangkan pada bahagian intim wanita.
Serai Wangi
-Serai wangi (Cymbopogon Nardus) dari segi ubatan tradisional digunakan untuk rawatan selepas bersalin dan pening kepala. Caranya adalah dengan menggunakan air rebusan serai wangi dan dicampur beberapa herba lain seperti daun sirih sebagai mandian atau dibasahkan kepala dan dilapkan pada seluruh badan. Kandungan citral didalam serai amat berkesan dalam membantu proses pencernaan, melegakan kekejangan, ketegangan otot, sengal-sengal dan sakit kepala. Antara lain, tonik yang ada juga boleh merangsangkan sistem badan. Malah turut membantu anda menurunkan berat badan.
Kurma
-Kajian membuktikan kurma adalah antara makanan yang paling bagus semasa berpantang bagi membekalkan tenaga. Selepas bersalin, anda perlu menggabungkan pelbagai jenis makanan untuk menggantikan tenaga dan darah yang berkurangan, jadi kurma adalah pilihan yang sesuai. Selain itu, ia turut kaya dengan unsur zat besi dan kalsium bagi merangsang penghasilan susu ibu.
Lada Hitam
-Lada hitam terkenal sebagai ubat dalaman kerana ia berupaya mengeluarkan angin dari perut dan usus serta bermanfaat untuk memanaskan badan. Selain itu, ia juga dapat melancarkan aliran darah, mengatasi kembung perut dan mengubati sakit serta pening kepala.
Bawang Putih
-Bawang putih tinggi karbohidrat, sedikit protein, serat serta lemak. Selain itu, vitamin dan bahan galian yang penting untuk kesihatan seperti vitamin C, zat besi dan potasium banyak terkandung di dalamnya. Lantaran itu ia sangat baik untuk menyembuhkan luka. Amalan memakan bawang putih sangat elok kerana ia menjadikan anda kekal bertenaga.
Halia
-Ia mengandungi atsiri, damar, mineral sineol, vitamin A, B1, C dan protein menjadikannya baik untuk mengubati luka luar dan dalam, merawat kegatalan, merangsang kelenjar pencernaan dan membangkit selera makan. Rasa dan aroma pedasnya pula dapat menghangatkan tubuh dan mengeluarkan peluh dengan berkesan.
Kunyit (ibu kunyit)
-Kunyit dapat membersihkan perut, melepaskan lebihan gas pada usus, menghentikan pendarahan, melancarkan aliran darah dan mencegah pengumpulan darah.
Lengkuas
-Lengkuas berkhasiat dalam membantu membersihkan darah, menghalang gangguan perut dan merangsang otot.